Kepada Masa Lalu,
Apa khabar? Pastinya berada dalam keadaan tertinggal di belakang, dan sering mahu dilupakan. Maaf kerana jarang menziarahimu, kerana saya sibuk memesrai Masa Hadapan.
Masa Lalu,
sepertinya orang lain, saya dengan begitu terdesak ingin melupakan kamu. Kamu, adalah sesuatu yang saya tidak perlukan, hampir setiap hari. Kamu pasti tahu, kamu banyak musuh, kan? Musuh-musuh kamu adalah mereka yang ingin menjadi lebih baik, mereka yang ingin maju, mereka yang patah hati, mereka yang gagal. Saya, adalah sebahagian daripada mereka.
Kamu tahu, hampir setiap saat saya hampir memaki kamu, kerana apa yang telah terjadi pada saat-saat yang telah berlalu. Tapi hari ini, tiba-tiba saya tersedar sesuatu. Kamu, Masa Lalu, bukanlah sesuatu yang teruk sebenarnya. Sungguh. Hampir saya menangis kerana menyesali perbuatan saya, mengutuk, menyumpah dan menyalahkan kamu atas segala kegagalan saya. Saya lupa, yang bersalah itu saya, bukan kamu.
Dalam sejenak saya terfikir, apabila saya mengutuk kamu, sebenarnya saya sedang mengutuk takdir. Dan mengutuk takdir bererti saya mengutuk Tuhan. Nauzubillah. Astaghfirullah.
Masa Lalu,
kini saya berasa hendak memeluk kamu. Kenapa? Sebab tanpa kamu, mana bisa saya jadi seperti sekarang. Tanpa kamu, mana bisa saya menjadi lebih baik. Kerana adanya kamu, Masa Lalu, kamu mengajar saya menjadi dewasa, mengajar saya memaknai rasa, mengajar saya mengenal diri, mengajar saya tentang keputusan, dan banyak lagi.
Hampir-hampir saya melupakan kebaikan kamu wahai Masa Lalu, tatkala hati saya dimamah penyesalan. Kini, saya menulis kerana mahu mengucapkan terima kasih. Terima kasih atas segala pengajaran, sungguh pun ia datang begitu lewat. Sungguh, terima kasih.
Masa Lalu,
tak mungkin saya melupakan kamu ketika masih hidup. Kerana kenangan, tarikh luputnya sepanjang hayat. Selagi hidup, selagi itu saya akan terikat dengan kamu. Pun begitu, saya tak boleh selalu menziarahi kamu, bimbang saya terlepas sesuatu yang lebih baik untuk masa hadapan. Moga kamu tetap di tempatmu, agar sesekali saya ingin berbicara tentang penyesalan dan hikmah, kamu selalu ada untuk mendengar dan memberi tunjuk ajar. Jumpa lagi nanti.
Ikhlas,
Sederhanaindah
Sederhanaindah
No comments:
Post a Comment